Recent Posts

Wednesday, May 11, 2016

Fenomena El Nino:Kucing Itu Sakitkah?

Fenomena El Nino:Kucing Itu Sakitkah?

Gelombang haba yang terhasil daripada fenomena El Nino sejak kebelakangan ini mencetuskan rasa tidak selesa kepada rakyat Malaysia.
Orang ramai menerima nasihat daripada beberapa kementerian serta agensi utama supaya minum air banyak dan mengehadkan aktiviti di luar.
Masalah kesihatan yang disebabkan dehidrasi juga dilaporkan media. Beberapa buah sekolah di Perlis dan Pahang turut ditutup sementara demi menjaga kesihatan murid akibat bahang panas.
Bagaimanapun, cuaca yang sama turut memberi kesan kepada haiwan, malangnya nasib haiwan terbiar ini tidak mendapat perhatian.
Justeru, penulis ingin berkongsi pengalaman berhubung nasib kucing terbiar sebelum meminta rakyat Malaysia membantu haiwan yang turut terkesan ini.
Rebah
Semuanya bermula apabila suami memberitahu bahawa semasa beliau menunggu penulis di sebuah restoran, beliau terlihat seekor kucing yang kelihatan tidak bermaya, bagaikan akan rebah pada bila-bila masa.
Penulis bertanya kepada beliau ‘Kucing itu sakit ke?’ tetapi suami tidak pasti.
Kemudian penulis teringatkan fenomena gelombang haba yang berlaku pada masa kini. Lalu penulis berbisik: “Kasihannya, kucing tu, lebih-lebih lagi yang tidak bertuan, tiada siapa yang akan beri ia air dan longkang pula sudah kering. Jadi tiada air untuk diminum.”
Penulis mula risau dengan keadaan ini dan terus memberitahu suami untuk membantunya selain menyebarkan hal tersebut kepada yang lain.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah letakkan satu bekas plastik berisi air di tempat tertentu bagi membolehkan haiwan yang merayau ini dapat minum.
Dengan cara ini kita boleh tunjukkan bahawa ada juga orang yang mengambil berat tentang nasib haiwan ini.
Beberapa hari kemudian, selepas menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur penulis ke stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Bandar Tasik Selatan.
Semasa berjalan dari platform RapidKL ke platform KTM, ada sesuatu yang menarik perhatian penulis. Kelihatan seekor kucing terlantar atas lantai berdekatan tangga dengan matanya tertutup. Cuma pergerakan di bahagian perut menunjukkan ia masih bernafas.
Penulis segera ke kedai terdekat untuk membeli bekas plastik kecil untuk diisi air supaya kucing itu boleh minum. Malangnya, tiada satu pun kedai yang menjual bekas plastik itu.
Penulis tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan dan hampir berputus asa.
Kemudian penulis pergi ke sebuah lagi kedai untuk membeli waffle dan mengambil peluang untuk bertanya sama ada mereka ada bekas plastik kecil. Seorang jurujual muda menjawab; “Kak plastik kami tak ada, tapi bekas aiskrim kami boleh bagi kak.”
Bekas minuman
Penulis mengucapkan terima kasih dan berkongsi perasaan terharu saya dengan jurujual itu selain meminta beliau membantu saya mengisi air dalam bekas itu. Beliau dengan penuh rela hati melakukannya.
Semasa meletakkan bekas air itu dekat dengan kucing itu, ia tetap tidak berganjak. Kemudian penulis membasahkan jari dengan air dan meletakkannya di bibir kucing.
Penulis terkejut melihat kucing itu bingkas bangun dan meminum air dalam bekas itu. Selepas minum, ia nampak bermaya sedikit. Bila penulis kembali ke kedai yang sama untuk mengambil waffle, gadis di kedai itu bertanya: ‘Kak kucing itu hidup lagi ke...”
Dalam insiden ketiga, ketika makan tengah hari di sebuah restoran penulis terlihat seekor kucing dalam keadaan tidak bermaya.
Selepas makan, penulis terus ke kedai haiwan di barisan kedai yang sama dan membeli sebuah bekas air untuk ditempatkan berdekatan restoran itu. Penulis meminta pekerja restoran itu supaya membantu mengisi air dalam bekas itu supaya sentiasa penuh bagi membolehkan kucing-kucing terbiar ini minum.
Penulis kerap ke restoran ini dan berasa gembira kerana walaupun pekerja restoran ini sibuk dengan tugas mereka tetapi tetap memastikan bekas itu diisi air setiap hari untuk kucing-kucing terbiar di situ.

Penulis hanya boleh berharap dan merayu kepada orang ramai, yang menyayangi haiwan seperti kucing dan anjing agar lebih bertimbang rasa dan menyediakan sedikit air kepada haiwan terbiar ini yang turut mengalami kesan akibat bahang panas ketika ini.
Kepada mereka yang tidak suka haiwan berkenaan berada di dalam atau sekitar halaman rumah mereka, bertimbang rasalah sedikit dengan meletakkan bekas air kecil di luar rumah supaya haiwan berkenaan boleh minum. Bagaimanapun, pastikan bekas-bekas ini tidak menjadi sarang pembiakan nyamuk. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Popular Posts